PROGRAM PENINGKATAN KOMUNITI (PPK) KG. PINGGAN JAYA
Kg. Pinggan Jaya, Kuching
Dalam usaha untuk mendukung pengurangan kemiskinan di negeri Sarawak, Yayasan Sejahtera memulai projek pembangunan komuniti dengan Kampung Pinggan Jaya, sebuah kampung yang terletak di luar pusat bandar Kuching yang sebelumnya hanya dapat diakses melalui Sungai Sarawak. Baru-baru ini dapat dihubungkan dengan bandar melalui darat menerusi jalan baru, Kampung Pinggan Jaya sedia untuk maju dan terdapat keperluan untuk menolong penduduk kampung mencari jalan supaya kehidupan mereka bertahan.
Dikelilingi oleh pokok-pokok nipah (Nypa fruticans), kampung ini membina kepakaran dalam menuai getah nipah untuk dijadikan gula apong, yang merupakan satu bentuk pemanis semula jadi. Gula apong adalah salah satu produk tempatan yang paling popular di Sarawak, selalu digunakan dalam masakan tempatan sebagai alternatif kepada gula putih. Walaubagaimanapun, ia kini dihasilkan secara tradisional dan dijual kepada orang tengah dengan harga yang rendah.
Program pembangunan komuniti di Kampung Pinggan Jaya bertujuan untuk mewujudkan hub perniagaan gula apong yang boleh disertai oleh seluruh masyarakat di pelbagai peringkat untuk menaik taraf golongan isi rumah berpendapatan rendah dan memberi mereka peluang untuk memanfaatkan sumber yang tersedia sekeliling mereka. Berdasarkan pendekatan holistik Yayasan Sejahtera, kegiatan tersebut disasarkan untuk mendorong golongan dewasa, belia dan kanak-kanak di Kampung Pinggan Jaya supaya bekerjasama dan mendapat manfaat dari pembangunan di kampung.
Pada tahun 2016, kerja asas di Kampung Pinggan Jaya dimulakan dengan penilaian kampung dan melihat lebih dekat proses pengeluaran produk utama yang sedia ada, gula apong. Para penerima bantuan juga didedahkan dengan latihan perniagaan, pemasaran dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam mempersiapkan mereka ke tahap berikutnya. Mereka juga didorong untuk menjadi inovatif dalam menghasilkan produk-produk yang berkaitan dengan gula apong supaya dapat dikomersialkan selari dengan bahan utama. Pada masa yang sama, kanak-kanak Kampung Pinggan Jaya juga mendapat sokongan dari segi pendidikan, sebagai persediaan untuk masa hadapan mereka.
Projek ini sedang berjalan dan dijangka siap pada 2019.